SELANGOR

300 sukarelawan bersihkan Pantai Tanjung Harapan

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 13 NOV: Seramai 300 peserta dari Sekolah Kebangsaan Bandar Sultan Sulaiman Sekolah Kebangsaan Seri Istana, Maritim, penduduk Kampung Delek dan River Rangers dari Sungai Udang menyertai Program Pembersihan Pantai Tanjung Harapan, kelmarin.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Mohamad Yasid Bidin berkata, program berkenaan merupakan usaha MPK menyokong hasrat Kerajaan Negeri dalam memastikan kawasan pantai berada dalam keadaan bersih, terjaga, ceria dan selamat untuk dikunjungi.

Katanya, program itu juga merekodkan maklumat sampah yang diperolehi di kawasan pantai dalam ‘Coast Clean Index’.

“Laporan perekodan maklumat sampah itu dihantar kepada pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebagai usaha dan inisiatif MPK dalam memastikan kawasan Pantai Tanjung Harapan terjaga.

“Ia juga meningkatkan kesedaran semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti akan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan perairan pantai serta dapat mewujudkan data CCI di kawasan berkenaan.

“Kriteria CCI dibangunkan Institut Maritim Malaysia (MIMA) dengan kerjasama pihak Persatuan Pencinta Alam Malaysia,” katanya.

Mohamad Yasid berkata, MPK turut menetapkan sepanjang 150 meter iaitu 15 plot kawasan kutipan data secara rawak bagi CCI.

“Di mana setiap satu plot kawasan kutipan data di ukur sepanjang 10 meter dan lebarnya adalah daripada laluan penjalan kaki (bahagian atas) hingga ke gigi air,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, MPK akan meneruskan program kutipan data CCI itu di masa akan datang dengan kerjasama semua pihak.

Katanya, isu kebersihan merupakan isu bersama semua lapisan masyarakat dan aspek penting yang memastikan kesihatan masyarakat secara menyeluruh dan menjadi salah satu indikator pembangunan negeri.

“Di samping itu, semua agama menggalakkan penganutnya supaya sentiasa bersih dari aspek kerohanian dan jasmani.

“Negeri yang bersih melambangkan nilai estetika dan keindahan serta dapat menggalakkan perkembangan industri khususnya kepada industri pelancongan.

“Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang proaktif, MPK sentiasa mencari ruang bagi meningkatkan tahap kepengurusan dan perkhidmatannya kepada seluruh masyarakat di Bandar Klang,” katanya.


Pengarang :