BERITA UTAMASELANGOR

326 petani terima Persijilan MyGAP & MyOrganic

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 1 NOV: Seramai 326 petani dari seluruh Selangor menerima Persijilan MyGAP dan MyOrganic (2017-2018) atas komitmen menjalankan Amalan Pertanian Baik, di ladang masing-masing.

EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hasim berkata, pengiktirafan itu membolehkan hasil pertanian golongan petani mudah dikenali, sekali gus dapat bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.

Katanya, persijilan berkenaan mengutamakan kaedah kawalan perosak bersepadu dan menjamin keselamatan serta kebajikan pekerja ladang, selain meningkatkan hasil pengeluaran juga produk berkualiti.

“Ia turut memberi faedah kepada hasil pertanian lebih berkualiti dan selamat dimakan kerana kandungan racun makhluk perosak, pada paras yang dibenarkan.

“Selain itu, ia dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Persijilan MyGAP dan MyOrganic sempena Selangor Agrofest 2018, di Pentas Utama Kompleks Sukan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pertanian Selangor, Rosmawati Selamat dan Ketua Bahagian Pertanian Selangor.

Pada masa sama, Ir Izham berkata, Amalan Pertanian Baik adalah sistem pengurusan sumber dalam pengeluaran produk pertanian secara baik serta lestari.

Katanya, sistem terbabit dijangka dapat meningkatkan produktiviti ladang dan menghasilkan makanan selamat serta berkualiti dengan mengambil kira aspek kebajikan, keselamatan, kesihatan pekerja selain memelihara alam sekitar.

“Diharapkan usaha gigih ini akan menjadi landasan ke arah memacu sektor pertanian, di Selangor seterusnya meletakkan negeri ini sebagai negeri contoh, terutama dalam pengamalan pertanian terbaik dan lestari, di Malaysia.

“Diharapkan persijilan ini akan sentiasa diperbaharui bagi menjamin pengeluaran makanan yang selamat dimakan berterusan,” katanya.

MyGAP dahulunya dikenali sebagai Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) dirangka dan dilaksana khusus oleh Jabatan Pertanian untuk mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan ladang baik secara berterusan.


Pengarang :