BERITA UTAMASELANGOR

35 kedai di ‘Uptown’ Shah Alam musnah dalam kebakaran

SHAH ALAM, 12 NOV: Sebanyak 35 kedai di bazar larut malam ‘Uptown’ Shah Alam di Seksyen 24 di sini, musnah dalam kebakaran pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Penguasa Kanan Bomba I, Mohd Rizal Buang berkata seramai 39 anggota dari balai Shah Alam, Kota Anggerik dan Subang Jaya telah dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pukul 5.37 pagi.

“Ketika tiba di tempat kejadian api sedang marak namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kami difahamkan operasi Uptown berakhir pada pukul 4 pagi.

“Sebanyak 28 buah kedai di blok pertama dan blok kedua terbakar 100 peratus manakala tujuh buah kedai di blok ketiga 50 peratus terbakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Rizal, kebakaran berjaya dikawal kira-kira 5.50 pagi.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Kebakaran ini merupakan insiden ketiga berlaku di Uptown Shah Alam selepas kali pertama berlaku pada 2014 membabitkan 196 kedai dan kali kedua membabitkan empat kedai pada 2016.

Berikut adalah gambar suasana keadaan di Uptown Shah Alam diambil oleh juru foto SelangorKini : Remy Arifin

SUMBER BERITA: BERNAMA


Pengarang :