NASIONAL

4 lelaki menyamar pegawai SPRM direman

PUTRAJAYA, 10 NOV: Empat lelaki yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direman enam hari, bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung isu wang suapan RM2 juta untuk menyelesaikan kes membabitkan seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’.

Memetik laporan BERNAMA, Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan mengeluarkan perintah reman terhadap keempat lelaki berusia antara 33 dan 49 tahun itu, bermula hari ini sehingga 15 November.

Sebelum itu, keempat lelaki yang memakai baju lokap SPRM dan bergari tiba di perkarangan Mahkamah Putrajaya, pada jam 9.10 pagi.

Semalam, SPRM menahan tiga individu di sebuah kelab golf terkemuka di Sungai Buloh, Selangor pada jam 3 petang manakala seorang lagi ditahan di rumahnya, di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur pada jam 8.15 malam.

Menurut sumber, keempat lelaki berkenaan bersubahat untuk meminta wang suapan RM2 juta daripada seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang dipercayai mempunyai kes membabitkan SPRM.

Susulan penahanan itu, SPRM merampas tujuh telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan daripada keempat suspek serta wang tunai RM48,350 daripada seorang suspek.

Kes yang disiasat bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 itu terbongkar selepas mangsa membuat laporan di SPRM.


Pengarang :