SELANGOR

48 permohonan perkahwinan bawah umur

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3O NOV: Sejumlah 48 permohonan perkahwinan di bawah umur dicatatkan tahun ini bagi tempoh sehingga Oktober lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 34 permohonan diluluskan manakala 14 permohonan lagi ditolak.

“Permohonan ini adalah mengikut enakmen lalu iaitu sebelum diluluskan enakmen baru. Ia merupakan permohonan lelaki bawah 18 tahun dan perempuan bawah 16 tahun.

“Selepas enakmen baru diluluskan, setakat ini masih tiada permohonan dibuat,” katanya menjawa soalan Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, dalam Sidang Dewan Negeri, di sini.

September lalu, Dewan Negeri Selangor (DNS) sebulat suara meluluskan pindaan menaikkan had umur minimum perkahwinan orang Islam daripada 16 kepada 18 tahun.

Ia menjadi undang-undang selepas semua wakil rakyat sebulat suara menyokong rang undang-undang Enakmen Keluarga Islam (Selangor) (Pindaan) 2018 dan Rang Undang-Undang Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) (Pindaan) 2018.

Pindaan itu menjadikan Selangor negeri pertama yang menetapkan had umur perkahwinan orang Islam dinaikkan susulan kontroversi pernikahan seorang kanak-kanak warganegara Thailand yang berusia 11 tahun dengan seorang warganegara Malaysia berusia 41 tahun.

Pindaan dibuat ‘berdasarkan kemaslahatan semasa’ dan melibatkan fasal memastikan kebajikan perempuan berusia bawah 18 tahun terpelihara dan tatacara permohonan kebenaran untuk berkahwin bagi lelaki dan perempuan berusia bawah 18 tahun.


Pengarang :