EKONOMI SELANGOR

5,000 usahawan aktif di Kuala Langat

OLEH NADIAH ZAMLUS

MORIB, 18 NOV: Kira-kira 5,000 usahawan berstatus aktif di Kuala Langat, ia termasuklah mereka yang terlibat dengan Industri Kecil Sederhana (IKS).

Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata, rata-ratanya terkenal dengan usahawan perniagaan kerepek, homestay dan juga industri asas tani.

“Peningkatan jumlah usahawan ini kerana kesemuanya menerima pelbagai bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta, juga termasuk bantuan peralatan perkakasan seperti mesin dan sebagainya.

“Walaupun Kuala Langat adalah kawasan luar bandar, namun adanya usahawan-usahawan ini merancakkan lagi ekonomi sekaligus menjadikan Kuala Langat sebagai lokasi sub-urban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan Karnival Jelajah Usahawan Selangor 2018 peringkat Daerah Kuala Langat di Dataran Pantai Morib, malam tadi.

Turut hadir, EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Mengulas lanjut, Jusni berkata, penganjuran karnival itu bertujuan membantu usahawan serta bakal usahawan mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan.

“Ini memandangkan ada diantara usahawan tidak terdedah dengan bantuan disediakan agensi terlibat, diharapkan bantuan sebegini dapat meningkatkan lagi daya saing di kalangan usahawan.

“Selain itu kita mahu bantuan diberi kerajaan kepada usahawan ini dapat dikembalikan kepada rakyat melalui hasil kejayaan mereka, semoga kesemua usahawan di Kuala Langat mendapat manfaat sebaiknya,” katanya.


Pengarang :