NASIONAL

602 individu terima pingat daripada Sultan Muhammad V

KOTA BHARU, 10 NOV: Seramai 602 individu akan menerima Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Surat Kepujian sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V ke-49 yang akan berlangsung di Istana Balai Besar ,di sini, esok.

Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad berkata, daripada jumlah itu, 37 individu akan menerima darjah kebesaran bergelar Datuk, manakala lima lagi dilantik sebagai Jaksa Pendamai.

“Menjunjung titah perintah dan limpah kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, adalah saya dengan ini memaklumkan baginda telah mengampuni perkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Surat Kepujian kepada s597 penerima seperti ditentukan serta melantik lima orang menjadi Jaksa Pendamai sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V ke-49.

“Adapun Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Surat Kepujian kepada seramai 597 penerima dan pelantikan Jaksa Pendamai kepada lima orang akan dilangsungkan di Istana Balai Besar oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan (Dr Tengku Muhammad Faiz Petra),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media, di Pejabat Sultan Kelantan di Istana Besar di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Katanya, seramai 205 penerima akan menerima darjah kebesaran masing-masing, esok manakala bagi penerima Bintang, Pingat dan Surat Kepujian akan disempurnakan pada 4 Mac 2019.


Pengarang :