SELANGOR

80 pelajar tonton filem Paskal sempena Program Patriot Muda 2018

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 12 NOV: Seramai 80 pelajar sekolah menengah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis diberi peluang menonton filem Paskal, sempena Program Patriot Muda 2018, di TGV Cinemas Bukit Tinggi, di sini, Sabtu lalu.

Siri pertama program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN itu membabitkan penyertaan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Andalas dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun serta diiringi guru masing-masing.

Ahli Dewan Negerinya, Zawawi Mughni berkata, program terbabit bertujuan mendekatkan anak muda tempatan terhadap perjuangan besar yang dicurahkan anggota keselamatan demi menjaga keharmonian negara.

“Saya mahu anak-anak muda ini dapat menghayati perjuangan atau kerja yang dilakukan oleh wira-wira kita di maritim dan mengawal keselamatan negara,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan aktiviti kuiz kepada semua pelajar terbabit sejurus tamat menonton filem berkenaan.

Katanya, acara itu menjadi sebahagian daripada pengisian Program Patriot Muda 2018.

“Sambutan diterima amat baik dan menggalakkan, bahkan mereka turut memberikan maklum balas positif termasuk daripada pihak sekolah.

“Saya yakin lebih banyak program susulan akan diadakan kepada pelajar-pelajar ini, pada tahun hadapan,” katanya.


Pengarang :