PBTSELANGOR

85 premis terima Anugerah Premis Bersih MBPJ

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 2 NOV: Kira-kira 85 pemilik premis, di sini menerima pengiktirafan Anugerah Premis Bersih Makanan Bersih 2018 daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pengiktirafan itu bagi menghargai usaha pemilik premis yang mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti makanan.

“Kriteria pemilihan dibuat meliputi beberapa aspek termasuk kebersihan, kawalan mutu makanan, pematuhan syarat permit, keindahan persekitaran dan mesra pelanggan.

“Ia dinilai panel juri terdiri daripada persatuan dan MBPJ,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Premis Bersih bagi Premis Makanan MBPJ 2018, di Dewan Sivik MBPJ, di sini.

Terdapat 10 kategori premis bersih diberi pengiktirafan antaranya dapur hotel, kantin sekolah, restoran makanan segera, restoran 24 jam, kedai bakeri dan restoran berhawa dingin.

Bagi kategori restoran makanan segera, McDonald, Texas Chicken dan Subway antara yang mendahului senarai, sementara dapur hotel ialah Hotel Hilton, Eastin Hotel dan Hotel Armada.

Sementara bagi restoran 24 jam pula, Restoran Kayu Original Penang Kayu Nasi Kandar, Restoran Jamal, Restoran Mariah, Restoran Subaidah dan Restoran Hayaki.

Mohd Azizi berkata, beliau berharap tahap kebersihan tempat makan di sekitar Petaling Jaya dapat ditingkatkan bagi memastikan kawasan itu bebas daripada penyakit bawaan makanan.

“Apabila premis kita bersih, barulah ia akan menjadi pilihan orang ramai,” katanya.


Pengarang :