SELANGOR

Abai kebersihan persekitaran punca denggi

OLEH SHEEDBATU CAVES, 24 NOV: Sikap individu yang sering mengabaikan kebersihan persekitaran punca penyakit denggi merebak, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, penyakit berjangkit seperti denggi boleh diatasi sekiranya masyarakat meluangkan sedikit masa untuk melakukan kerja pembersihan persekitaran di kediaman masing-masing.

“Kita perlu memastikan tempat yang mempunyai takungan air dibersihkan secara berkala, kerana jika dibiarkan ia akan menjadi punca pembiakan nyamuk aedes.

“Untuk makluman, nyamuk aedes boleh mebiak dalam air bertakung sekitar satu sudu sekiranya dibiarkan seminggu hingga dua minggu, apatah lagi jika nyamuk itu membiak dalam jumlah takungan air yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Sihat Selangor 2018 Peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Taman Ekstrem Gua Damai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, beliau optimis rakyat komited untuk mengubah sikap selaras dengan kemakmuran negara pada masa kini, sekali gus bersedia mengamalkan gaya hidup sihat dan berkualiti.

Pada masa sama, beliau memuji insiatif dilaksanakan MPS dalam menjayakan karnival sihat yang mampu menarik masyarakat menyertai pelbagai acara berkaitan kesihatan.

Antara pengisian karnival yang diadakan sejak jam 8 pagi hingga petang nanti antaranya aktiviti senam robik, rock climbing, flying fox, sukan kasut roda, pertandingan push bike dan pertandingan mewarna.


Pengarang :