AGAMANASIONAL

ABIM kecam serangan Israel ke atas Palestin

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 NOV: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam tindakan zalim Israel ke atas masyarakat Palestin, pada himpunan “The Great Return March”, pada 26 Oktober lalu yang mengorbankan lima nyawa serta lebih 200 orang cedera.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, serangan zionis itu wajib dikutuk masyarakat antarabangsa kerana ia mencaul prinsip hak asasi manusia sejagat yang mendokong kebebasan bersuara menerusi penganjuran himpunan aman.

“ABIM menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk mengheret Israel ke muka pengadilan demi menegakkan hak rakyat dan mengelak tindakan kejam seperti ini berulang.

“Kita juga berharap kerajaan Malaysia berperanan aktif memimpin tekanan masyarakat antarabangsa ke atas Israel lantaran kekejaman dilakukan secara semberono,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, komitmen kerajaan dalam isu itu penting apatah lagi ketika masyarakat dunia mengharapkan pendirian dan pandangan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menerusi arena politik antarabangsa.

Media antarabangsa melaporkan tindakan Israel itu mengorbankan seramai lima orang awam Palestin, di samping mengakibatkan 232 orang mengalami kecederaan.

Himpunan aman “The Great Return March” diadakan beberapa kali antara lain menggesa Israel mengehentikan serangan terhadap rakyat Palestin, di Gaza.

Serangan kejam terhadap peserta himpunan berkenaan adalah dari tembakan peluru hidup disasarkan pada kepala mangsa selain melepaskan tembakan gas pemedih mata secara rambang.


Pengarang :