SELANGOR

ADN Sijangkang alu beri bonus ikut KPI

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 NOV: Langkah Kerajaan Negeri memberi bonus kepada penjawat awam, di Selangor berdasarkan indeks prestasi utama (KPI), pada tahun hadapan dialukan.

Ahli Dewan Negeri Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, langkah itu mampu merangsang anggota perkhidmatan awam, di Selangor bagi meningkatkan prestasi kerja masing-masing.

“Cadangan Dato’ Menteri Besar untuk memberi imbuhan berdasarkan KPI, pada tahun hadapan sesuatu yang baik kerana pentadbiran Selangor perlu ada KPI pada setiap imbuhan diberi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2019, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menyambut baik pemberian bonus sebulan gaji, pada penghujung tahun ini seperti diumumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019.

Sementara itu, Ahmad Yunus turut menggesa Kerajaan Negeri memberi lebih banyak perhatian kepada Orang Asal dalam aspek pendidikan dan kebersihan Sungai Langat yang menjadi sumber mata pencarian mereka.


Pengarang :