NASIONAL

Agresif beri penerangan, jangan ulangi kesilapan Mesir

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Pakatan Harapan perlu agresif memberi penerangan kepada rakyat berhubung usaha memulihkan negara dalam semua aspek khususnya isu kepentingan rakyat secara langsung.

Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, penerangan jelas amat penting bagi mengelakkan peristiwa yang membawa kepada tumbangnya Kerajaan Mesir, pimpinan Mohamed Morsi.

“Mana-mana negara yang mengadakan pilihan raya, apabila kerajaan baru mengambil alih, rakyat ingin melihat perubahan serta-merta.

“Inilah yang sebenarnya berlaku kepada kejatuhan Morsi di Mesir kerana kerajaan baharu terpaksa menyelesaikan masalah 60 tahun.

“Di sini juga sama keadaannya dan sebab itu perlunya program pencerahan seperti ini supaya rakyat faham apa yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019 adalah proses pembaikan daripada kelemahan lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas berakhirnya Dialog Belanjawan 2019, di Institut Darul Ehsan (IDE), di Bangunan IDE, di sini, semalam.

Mohammad Redzuan berkata, kegagalan memberi pencerahan kepada rakyat akan menyebabkan mereka terdedah dan mudah percaya kepada fakta songsang, di media sosial.

“Kebanyakan pandangan dilontarkan netizen di media sosial adalah pandangan sama ada individu atau kelompok dan paling membimbangkan daripada mereka yang berkepentingan.” katanya.


Pengarang :