NASIONAL

Ahli Parlimen sumbang RM20,000 baiki lif rosak

OLEH NADIAH ZAMLUS

KEPONG, 17 NOV: Prihatin dengan masalah penduduk yang berdepan kerosakan lif hampir dua bulan, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menyumbangkan RM20,000 bagi membaik pulihnya semula.

Beliau berkata, keadaan yang berlaku di Flat Mutiara Fadason itu turut menyebabkan ada di antara warga emas, ibu mengandung dan kanak-kanak terpaksa menggunakan tangga setiap hari.

“Wang ini dikeluarkan melalui peruntukan saya sebagai ahli parlimen kawasan, walaupun ia dimiliki pihak swasta dan persendirian dan sepatutnya mereka sendiri yang mengeluarkan kos untuk kerja baik pulih.

“Namun, disebabkan hanya 48 peratus penduduk membayar bil penyelenggaraan, pihak pengurusan kekurangan wang untuk membuat sebarang baik pulih buat masa ini,” katanya ketika berkunjung ke flat berkenaan, di sini.

Pada masa sama, beliau turut menggesa semua pemilik rumah pangsa itu untuk membayar bil penyelenggaraan mengikut waktu, pada setiap bulan.

“Ssaya amat sedih dan tidak dapat bayangkan bagaimana penduduk menggunakan tangga hampir setiap hari, lebih-lebih lagi mereka yang mengandung, warga emas juga golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Ini adalah peruntukan ahli parlimen terakhir yang disalurkan pihak saya, selepas ini bayarlah wang penyelenggaraan RM40 sebulan supaya rumah ini mempunyai infrastruktur lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, penduduk di Flat Mutiara Fadason merayu supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membantu membaik pulih semula lif perumahan, di situ.
.

 


Pengarang :