SELANGOR

Aktif politik tak halang Najwan terima Ijazah Sarjana

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 7 NOV: Menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat tidak menghalang Mohd Najwan Halimi memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Tadbir Urus Korporat), pada Istiadat Konvokesyen ke-42 Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik berusia 33 tahun itu berkata, kejayaan terbabit membuktikan keputusan menerima tawaran mewakili Pakatan Harapan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada Mei lalu tepat walaupun sibuk dengan kuliah dan tugasan.

Beliau membahagikan jadual waktu belajar dan bekerja sebaik mungkin supaya pembabitan dalam aktiviti politik tidak terganggu.

“Saya akan memastikan setiap tugasan dan kuliah disiapkan tanpa masalah dan tekad menghabiskan pelajaran sehingga saya banyak menyertai kerja kumpulan sepanjang mengikuti pengajian separuh masa.

“Walaupun saya bekerja dan belajar, saya perlu kuatkan semangat untuk menghabiskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana.

“Pada masa sama, saya perlu bijak membahagikan masa untuk keluarga, terutama anak yang masih kecil dan memang saya peruntukkan masa untuk mereka, pada hujung minggu apabila tiada program,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Beliau yang turut mewakili daerah Hulu Selangor dalam sukan tenis semasa sekolah menengah dan bola sepak daerah Petaling semasa sekolah rendah, mahu memperkasakan diri dalam arena politik.

Katanya, kerjaya sebagai wakil rakyat sememangnya mencabar tetapi menyeronokkan kerana dapat berbakti kepada masyarakat.

“Saya berjinak dengan politik apabila menjadi Exco Persatuan Pelajar Islam, di sebuah universiti tempatan.

“Saya mahu ‘establish’ diri dalam politik dan pada masa sama berhasrat menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah dalam bidang politik dan pentadbiran atau sains politik,” katanya.

Pada PRU14 lalu, Najwan memenangi DUN Kota Anggerik dengan majoriti 17,004 undi dalam saingan tiga penjuru.


Pengarang :