NASIONAL

Aktivis perubahan iklim perlukan dana RM3,000

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 NOV: Seorang pejuang aktivis perubahan iklim memerlukan bantuan dana RM3,000 untuk mewakili Malaysia ke Conference of Youth (COY) 14 dan Conference of Parties (COP) 24 United Nations Framework Convention On Climate Change (UNFCCC), di Katowice, Poland.

Liyana Yamin, 25, antara salah seorang peserta Malaysian Youth Delegation (MYD) dijangka menghadiri persidangan itu selama 20 hari mulai 26 hingga 16 Disember ini, bersama empat lagi rakan seperjuangannya.

“Secara keseluruhannya, kos perbelanjaan sepanjang keberadaan di Poland adalah RM7,000 dan setakat ini, RM4,000 sudah berjaya dikumpul, manakala baki RM3,000 masih diperlukan bagi menjayakan misi terbabit.

“Anggaran bajet ini meliputi penginapan (RM1,500), tiket kapal terbang dua hala (RM4,000), makanan (RM1,000), pengangkutan darat (RM350) termasuk insuran perjalanan (RM150),” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pembantu Penyelidik di Universiti Malaya berkata, COP bertindak dalam solidariti bersama komuniti baris depan yang mengalami kesan ekoran perubahan iklim, di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Katanya, COP juga bertujuan menggalakkan penyertaan belia dalam persidangan iklim antarabangsa #YouthClimateAction, selain menyokong hal sedemikian.

“Ini kerana perubahan iklm adalah isu global yang kritikal dan perlu diambil berat semua lapisan masyarakat, terutama generasi muda masa kini,” katanya.

Justeru, orang ramai yang mahu memberi bantuan kewangan boleh salurkan menerusi akaun bank CIMB Liyana Yamin (7012414426).

Untuk pertanyaan, hubungi Liyana di talian ‪019-2009889‬ atau melalui email: [email protected].


Pengarang :