ALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Amaran angin kencang, laut bergelora hingga Rabu

KUALA LUMPUR 6 NOV: Angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 km sejam dengan ombak setinggi 4.5 meter diramal berlaku di perairan timur Condore dan Barat Reef North sehingga Rabu ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan, keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Keadaan angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50km sejam dan ombak setinggi 3.5meter sehingga Rabu ini juga dijangka melanda kawasan perairan tenggara Samui, Tioman, Bunguran, barat Condore, Reef South, timur Reef North, Layang-Layang, Labuan dan Pahlawan.

Keadaan itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

Keadaan sama dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan Barat Sabah dengan beberapa kawasan pantai terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :