NASIONAL

Amerika Syarikat berhak tahan Jho Low – PM

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak kisah jika Amerika Syarikat (AS) ‘mendapatkan’ Jho Low terlebih dahulu.

Beliau berkata, walaupun Malaysia mahu menjadi yang pertama menahan ahli perniagaan kontroversi itu, namun tidak mempunyai masalah jika negara lain melakukannya.

“Sekarang kita tidak kisah siapapun yang dapat dia dahulu, mereka boleh menahannya memandangkan sudah ada beberapa pertuduhan terhadap dia (Jho Low),” katanya dalam sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, Jho Low sebelum ini dikenali sebagai ‘man of the world’ dan berseronok di seluruh dunia, namun kini terpaksa menyorok seperti tikus.

Semalam, dilaporkan Pendakwa raya AS mengemukakan pertuduhan jenayah terhadap dua bekas ahli perbankan Goldman Sachs dan Low Taek Jho berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, bekas rakan niaga Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner sudah mengaku bersalah terhadap tuduhan konspirasi menggubah wang haram, tuduhan konspirasi melanggar Akta Amalan Rasuah Asing dan bersetuju mengambil wang AS$ 43.7 juta (RM182.32 juta).


Pengarang :