GLOBAL

Amnesty International lucut anugerah Suu Kyi

YANGON 13, NOV: Amnesty International bertindak menarik balik hadiah paling berprestij hak asasi manusia daripada Aung San Suu Kyi, menuduh pemimpin Myanmar itu mempertahankan pelanggaran hak asasi manusia dengan tidak bersuara mengenai keganasan terhadap minoriti Islam Rohingya.

Satu ketika dulu dianggap pejuang demokrasi, Suu Kyi dilucutkan daripada beberapa siri penghormatan antarabangsa berhubung perpindahan beramai-ramai Rohingya yang bermula 25 Ogos 2017.

Lebih 700,000 anggota minoriti tanpa kerakyatan itu melarikan diri menyeberang ke dalam Bangladesh selepas tentera Myanmar melancarkan tindakan keras sebagai tindak balas serangan Rohingya ke atas pasukan keselamatan.

Penyiasat yang diberi mandat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menuduh tentera melancarkan kempen pembunuhan, rogol dan membakar rumah penduduk dengan ‘niat melakukan genosid.’

Pentadbiran Suu Kyi menolak penemuan itu sebagai berat sebelah dan berkata, tindakan ketenteraan adalah sah dalam membanteras pemberontakan.

Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa itu menamakan Suu Kyi sebagai penerima Anugerah Duta Hati Nurani 2009 ketika masih ditahan dalam rumah kerana menentang junta Myanmar.

Dalam tempoh lapan tahun selepas dibebaskan, Suu Kyi mengetuai partinya mencapai kemenangan pada 2015 dan menubuhkan kerajaan tahun berikutnya namun terpaksa berkongsi kuasa dengan junta serta tiada kawalan terhadap tentera.

Amnesty International dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemimpin Myanmar itu gagal bersuara dan ‘melindungi pasukan keselamatan daripada dipertanggungjawabkan’ atas keganasan terhadap Rohingya, menyifatkannya sebagai ‘pengkhianatan memalukan nilai yang pernah beliau pegang satu ketika dulu.’

Setiausaha Agung kumpulan penyokong itu, Kumi Naidoo menulis kepada Suu Kyi Ahad lalu berkata, Amnesty International menarik balik anugerah berkenaan kerana ia ‘sangat kecewa pemimpin itu tidak lagi mewakili simbol harapan, keberanian dan pembelaan hak asasi manusia secara berkekalan.’

SUMBER: REUTERS


Pengarang :