NASIONAL

Anggota bomba diserang perusuh kini bertarung nyawa

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 NOV: Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang diserang perusuh, di Kuil Sri Maha Mariamman kini bergantung sepenuhnya pada mesin alat bantuan pernafasan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, anggota terbabit dipercayai ditarik keluar daripada kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) ketika menjalankan kerja penyelamatan, di sekitar kuil berkenaan.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan mangsa dipukul pada bahagian dada dan dipijak beramai-ramai oleh perusuh berkenaan.

“Secara jelas anggota terbabit masih lagi berada dalam kenderaan sebelum beliau ditarik keluar dan dipukul perusuh.

“Oleh itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengecam sekeras-kerasnya tindakan perusuh ini dan berharap Polis Diraja Malaysia akan melakukan siasatan menyeluruh serta bertindak tegas kepada pelaku yang menyebabkan insiden ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JPBM, Mohammad Hamdan Wahid.

Zuraida berkata, pihaknya difahamkan Muhammad Adib, 24, akan melangsungkan perkahwinannya, pada Disember ini dan meminta semua ahli keluarga untuk bersabar.

“Perbincangan berkenaan kejadian ini perlu disegerakan supaya tidak berlarutan bagi menjaga keharmonian dan keamanan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Saya ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mematuhi undang-undang dan yakin dengan kebolehan pihak berkuasa, khususnya polis bagi menyelesaikan isu ini dengan tertib serta aman,” katanya.

Sementara itu, tinjauan SelangorKini mendapati suasana pilu menyelubungi lobi SJMC apabila sekumpulan anggota bomba membacakan Surah Yassin bagi mendoakan kesejahteraan rakan mereka.

Turut hadir menziarahi mangsa ialah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.


Pengarang :