NASIONAL

Anwar pasak penegasan, KEADILAN bergerak dengan semangat perpaduan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Ucapan pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden KEADILAN dipasak dengan penuh penegasan dan beliau memberikan peringatan kepada semua ahli parti supaya bergerak sebagai satu keluarga dengan semangat perpaduan.

Penegasan itu dibuat selepas beliau melihat perjalanan pemilihan parti yang penuh kritikan dan menyifatkan imej KEADILAN tercalar sepanjang tempoh tiga bulan ini.

“Saya akan pimpin sebaiknya setegasnya untuk menaikkan martabat.

“Hentikan menunding jari kepada puak-puak, memang kita akui sistem ini lemah, banyak kecelaruan. Tiga bulan imej KEADILAN parah. Saya akan campur dan selesaikan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ucapan Penangguhan Kongres Nasional KEADILAN Ke-13 di IDCC, Shah Alam.

Katanya, beliau tidak lagi mahu melihat budaya perbalahan sama ada dari dalam kepimpinan sendiri serta akar umbi.

Anwar berkata, beliau mahu memperbaiki sistem pemilihan parti dan selain menyerahkan kepada pihak berkuasa seperti polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat semua laporan sepanjang proses pemilihan.

Menurutnya, pengorbanan selama 20 tahun dalam mengukuhkan kedudukan KEADILAN yang penuh berliku tidak mungkin terpadam walaupun ada antara pimpinan kini sudah mempunyai jawatan tinggi di peringkat persekutuan.


Pengarang :