BERITA UTAMANASIONAL

Anwar: Tangguhkan ICERD, tumpu bangunkan ekonomi rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Presiden KEADILAN yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan untuk menangguhkan terlebih dahulu dalam isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Katanya, hal itu kerana isu berkenaan tidak mendesak sebaliknya, memberi tumpuan utama kepada ekonomi negara bagi pembangunan rakyat Malaysia.

“Isu ini tidak mendesak. Boleh ditangguhkan. Menteri bagi ruang untuk orang Melayu, suarakan pendapat, jika ia menyebabkan ketegangan kaum, tangguhkan dahulu.

“Adalah lebih baik berikan tumpuan kepada hal ekonomi, penurunan harga barang dan penurunan harga getah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penangguhan Presiden di Kongres Nasional KEADILAN ke 13 yang bertemakan yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Anwar berkata, KEADILAN merupakan parti yang menentang diskriminasi dan kezaliman tanpa mengira kaum, namun menerima hak keistimewaan orang Melayu serta dinyatakan dalam perlembangaan

“Kita menerima prinsip perlembagaan itu namun bahasa Inggeris juga penting. Begitu juga dengan bahasa ibunda semua kaum, oleh itu kita mesti lantang pertahankan prinsip keadilan.

“Saya setuju. KEADILAN sudah ke hadapan, tetapi kebimbangan orang Melayu itu ‘real’,” katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan UMNO yang mahu mempertahankan hak orang Melayu dalam isu berkenaan, Anwar mempersoalkan ‘kesenyapan’ parti itu dalam kes rasuah terutamanya 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kenapa biar orang sudah bagi bukti? Kelu? Sekarang hendak berjuang? Pulangkan dulu RM30 bilion itu, sekarang baru mahu pertahankan orang Melayu,” katanya.

Sebelum itu, Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, negara tidak akan tunduk kepada kuasa besar yang mahu supaya Malaysia meratifikasi konvensyen berkenaan.

“Dasar ekonomi diperkenalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi berasaskan kaum tetapi berasaskan keperluan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan budaya,” katanya.

 


Pengarang :