SUKANKINI

ARRC: Helmi hampiri juara Underbone 150cc

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 NOV: Mohd Helmi Azman semakin hampir menjulang gelaran keseluruhan pertama dalam kariernya menjelang perlumbaan pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hujung minggu ini.

Selepas lima pusingan, pelumba SCK Rapido Hi Rev Honda Racing itu kini berkelebihan 42 mata di tangga teratas senarai keseluruhan Underbone 150cc.

Pelumba berusia 19 tahun terbabit mengumpul 164 mata diikuti rakan senegara, Md Izzat Zaidi Salehan (RCB Yamaha YY Pang Racing) dengan 122 mata.

Seorang lagi pelumba negara, Ahmad Fazli Sham (ONEXOX TKKR Racing) di kedudukan ketiga (96 mata) dan ini bermakna, gelaran juara keseluruhan Underbone 150cc akan terus kekal di Malaysia setelah dimenangi Mohd Akid Aziz, musim lalu.

Dengan baki dua perlumbaan, Helmi hanya perlu mengumpul sembilan mata atau sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh dalam mana-mana perlumbaan bagi mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan Underbone 150cc musim 2018.

“Saya perlu berhati-hati dan tidak boleh memandang mudah saingan minggu ini.

“Walaupun hanya perlu mengumpul sembilan mata sahaja, saya tetap akan memberikan yang terbaik dan mahu menamatkan perlumbaan di atas podium,” kata Helmi.

Helmi memulakan karier di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pada 2013 sebelum beraksi selama dua musim dalam saingan Asia Talent Cup.

Beliau kembali ke saingan ARRC musim lalu di mana dirinya menamatkan musim di kedudukan keempat keseluruhan.


Pengarang :