SUKANKINI

ARRC: Zaqhwan tekad bantu pasukan raih kedudukan terbaik

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 NOV: Mohd Zaqhwan Zaidi berharap dapat menamatkan musim 2018 dengan keputusan podium sekali gus membantu pasukannya berada di kedudukan terbaik dalam kategori berpasukan SuperSports 600cc pada pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, minggu ini.

Pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing diwakilinya berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 120 mata, 29 mata di belakang Webike Ikazuchi Racing (149 mata) manakala Manual Tech KYT Kawasaki Racing, kedua (130 mata).

Sementara itu, dalam kedudukan individu, Zaqhwan berada di kedudukan kelima keseluruhan dengan 94 mata, 42 mata di belakang pendahulu keseluruhan, Anthony West (136 mata).

Menyedari peluang merampas kedudukan keseluruhan agak sukar, Zaqhwan berkata, kini beliau bertekad sekurang-kurangnya membantu pasukan mengungguli kedudukan keseluruhan berpasukan.

“Jurang 42 mata dengan pendahulu agak jauh, dengan hanya 50 mata maksimum menanti pelumba menjadikan tugas untuk muncul juara keseluruhan agak sukar.

“Ia ditambah dengan persaingan sengit di antara tiga lagi pelumba yang berada di atas saya ketika ini termasuk rakan senegara, Azlan Shah Kamaruzaman namun apa sahaja boleh berlaku,” kata juara keseluruhan SuperSports 600cc musim 2014 dan 2016 itu.

Dalam pada itu, pelumba berusia 22 tahun itu berkata, apa dilihatnya peluang mengembalikan gelaran terbaik kepada pasukan lebih terbuka andai dirinya mampu memenangi kedua-dua perlumbaan minggu ini kerana jurang yang tidak begitu ketara.

“Walaupun begitu, saingan sudah tentu sangat sengit terutama dengan kumpulan pendahulu lain dan juga pelumba tuan rumah.

“Setidak-tidaknya saya mahu meraih satu gelaran juara untuk musim ini,” katanya yang meraih pencapaian terbaik sebagai naib juara Perlumbaan 1 pusingan keempat di India, Oktober lalu.

 


Pengarang :