GLOBAL

AS hantar tentera di sempadan Mexico ketat kawalan

WASHINGTON, 1 NOV: Ribuan tentera Amerika Syarikat (AS) dikerahkan segera ke sempadan AS-Mexico sebagai tambahan kepada pengawal sempadan sedia ada untuk mengetatkan lagi kawalan keselamatan.

Memetik BERNAMA, pihak berkuasa AS memaklumkan tentera diperlukan bagi mengekang kemasukan kumpulan besar pendatang dari negara Amerika Tengah yang dijangka tiba di sempadan.

Jumlah penempatan anggota tentera akan berubah setiap hari, tetapi setakat ini Pentagon menghantar 5,239 anggota dan akan ditempatkan selama 45 hari, manakala seramai 2,000 anggota lain diarahkan bersiap sedia.

Ketua Angkatan Tentera Darat AS, Jeneral Terrence O’Shaughnessy berkata, tentera akan menumpukan kepada “memperkuatkan” laluan sempadan dan kawasan sekitarnya.

Tentera juga akan menyediakan sokongan perubatan dan perumahan sementara untuk pengawal sempadan.

Sementara itu, menurut kumpulan bantuan dikenali Pueblos sin Fronteras, kumpulan pertama seramai kira-kira 4,000 orang tiba di bandar Juchitan, di Oaxaca pada Khamis.

Satu lagi kumpulan kira-kira 2,000 orang berjaya menyeberangi Sungai Suchiate yang memisahkan Mexico dari Guatemala sehari sebelumnya.

Kebanyakan migran berjalan kaki dan masih berada ratusan kilometer dari sempadan AS dan mengambil masa lebih 45 hari untuk tiba ke sempadan negara itu.


Pengarang :