SELANGOR

Asnaf dirai dalam ‘Kembali Ke Sekolah 2019’

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 19 NOV: TRIplc Berhad meraikan 80 pelajar anak asnaf Sekolah Kebangsaan Jalan U3, Subang Perdana dalam program ‘Kembali Ke Sekolah 2019’, di Pasar Raya Besar Mydin, USJ 1.

Kesemua mereka dibawa untuk membeli kelengkapan sekkolah sebagai persediaan awal bagi menghadapi sesi pembelajaran 2019 dengan peruntukan RM300 seorang serta wang sagu hati RM50.

Pengarah Urusan TRIplc Berhad, Datuk Yusof Badawi berkata, pihaknya mempertuntukkan hampir RM32,310 buat anak asnaf membeli-belah sambil dibantu 25 ibu bapa angkat terdiri daripada kakitangan syarikat serta guru.

“Ini adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan kali kedua. Fokus kita adalah membantu pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan rendah supaya mereka dapat merasai suasana membeli-belah barangan sekolah tahun hadapan.

“Kita juga mahu menyuntik semangat kepada mereka supaya berjaya dalam pelajaran, di samping mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa.

“Tahun lalu kita bawa 45 murid dan jumlah itu bertambah tahun ini. Kita pilih Sekolah Kebangsaaan Jalan U3 kerana ia berdekatan dengan syarikat kami dan menjadi tanggungjawab kami membantu mereka yang berhampiran,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, riak wajah ceria jelas terpancar di wajah pelajar ketika memilih keperluan persekolahan terdiri daripada pakaian, beg, kasut serta alat tulis.

Muhd Syahir Zairul Adam, 10, mengakui seronok dapat membeli keperluan persekolahan tahun hadapan bersama kawan serta mengucapkan terima kasih atas sumbangan TRIplc Berhad.

“Saya ada enam orang adik beradik. Seronok dapat membeli-belah. Saya beli dua pasang baju sekolah, beg sekolah dan kasut,” katanya.

Bagi Mohamad Izwan Hairi Hassan, 10, ini adalah kali pertama beliau mendapat sumbangan untuk membeli-belah dan menyifatkan ia sebagai kenangan yang indah.

“Ini kali pertama dapat membeli-belah barangan persekolahan seperti ini. Seronok bersama kawan dan guru kerana temankan kami semua pilih barangan sekolah,” katanya.


Pengarang :