NASIONAL

Awas jika terbang dron tanpa kebenaran

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 NOV: Orang awam yang dikesan menerbangkan dron tanpa kebenaran berisiko ditahan pihak berkuasa, kata Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PDRM dalam kenyataan di Facebook berkata, mereka yang didapati bersalah boleh ditahan mengikut Peraturan 143 (Peraturan Penerbangan Awam 2016).

“Mereka juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 206 (3) Peraturan Penerbangan Awam,” katanya.

Pada masa sama, PDRM berkata, terdapat beberapa lokasi yang dilarang untuk menggunakan dron, termasuk Putrajaya.

Katanya, ia kerana lokasi berkenaan adalah pusat pentadbiran kerajaan selain penempatan kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Jika ada yang ingin menerbangkan dron, di situ perlulah membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri terlebih dahulu dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia .

“Selain Putrajaya, ruang udara Istana Negara, persekitaran Parlimen, persekitaran KLCC dan kawasan lapangan terbang juga adalah kawasan larangan menerbangkan dron,” katanya.


Pengarang :