NASIONAL

Azizah: Jadi pembela dan pejuang kepada rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 NOV: Parti KEADILAN perlu terus berfungsi sebagai pejuang dan pembela rakyat sekali gus, dirasai kehadiran oleh rakyat.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan pejuang reformis juga perlu berbeza dari rejim yang ditentang sebelum ini.

Katanya, pendekatan dan amalan perlu mempunyai kelainan dan dilihat lebih baik dari dulu.

“Jangan sampai rakyat menempelak..’ah..sama saja dengan yang dulu,”.. jika ini berlaku sungguh malang perjuangan dan pengorbanan kita selama ini.

“Buktikan kita lebih baik, buktikan keputusan rakyat menyokong kita adalah tepat, buktikan kita mampu melaksanakan amanah dengan berkesan dan rakyat merasai kehadiran setiap kita dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan dasarnya di Kongres Nasional KEADILAN Ke-13, yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Wan Azizah berkata, ahli parti juga perlu segera menghadiri inisiatif yang dapat mensejahterakan rakyat, membudayakan reformasi pemikiran ke arah rakyat yang berdikari.

Bukan itu sahaja, katanya, KEADILAN perlu terus terpahat dalam jiwa dan sanubari rakyat Malaysia.

“Parti Keadilan Rakyat, sebagai pejuang dan pembela nasib rakyat mesti dirasai kehadirannya oleh rakyat. Parti kita ini tidak cukup sekadar dihadirkan di tengah-tengah rakyat melalui lambang atau bendera atau gambar seperti dalam kempen sebelum ini.

“Kita perlu menghadirkan ‘isinya’. Parti kita adalah parti yang harus hadir di tengah masyarakat dan terpahat di dalam jiwa dan sanubari rakyat. Hadir dan merasai denyut nadi rakyat.

“Memaknai parti membawa maksud bahawa parti harus dilihat dan dirasai memberi khidmat kepada rakyat,” katanya.

 


Pengarang :