NASIONAL

Azmin hulur salam muafakat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 NOV: Seluruh kepimpinan dan anggota KEADILAN diseru kembali kepada agenda reformasi tulen dengan membingkai muafakat dan menggarap kekuatan demi membina perjuangan berasaskan nilai serta idealisme, di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau akan bergandingan dengan Anwar, sekali gus menampilkan kepimpinan kuat, berwibawa dan muafakat, demi masa depan negara.

“Saya menghulurkan salam muafakat dan reformasi kepada seluruh pimpinan serta anggota KEADILAN.

“KEADILAN adalah keluarga besar yang saling memerlukan antara satu anggota dengan anggota lain di mana cubit peha kanan, peha kiri terasa juga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kongres Angkatan Muda KEADILAN dan Wanita, di IDCC di sini, malam tadi.

Beliau turut menyeru anggota parti supaya bersyukur ekoran diberi keyakinan untuk meletakkan seorang wanita sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, selain merupakan parti terbesar di Dewan Rakyat, KEADILAN juga memimpin Selangor dan Negeri Sembilan.

“Kemenangan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 adalah hasil daripada muafakat Pakatan
Harapan yang tuntas mengangkat suara dan nurani rakyat,” katanya.


Pengarang :