SELANGOR

Azmin syukur boleh masuk sekolah selepas 25 tahun

HULU KELANG, 10 NOV: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menzahirkan rasa syukur kerana dibenarkan masuk ke sekolah untuk menghadiri program, setelah 25 tahun dilarang berbuat demikian.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, sebelum ini beliau tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah sebagai ahli politik, termasuk dalam kawasan Parlimen Gombak yang diwakilinya ketika menjadi pembangkang.

“Sebentar tadi, guru besar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menzahirkan rasa gembira kerana ini julung kalinya saya datang ke Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2 (SKTM 2).

“Saya nak nyatakan, jangan salahkan saya kerana sebelum ini saya tak boleh masuk ke SKTM 2 ini atau mana-mana sekolah tetapi alhamdulillah, selepas 25 tahun saya menunggu, baru hari ini saya dapat masuk ke sekolah ini,” katanya disambut gelak tawa hadirin.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa merasmikan Karnival Gemilang 2018 SKTM 2, di sini, lapor BHOnline.

Turut hadir, ADN Hulu Kelang, Saari Sungib; Guru Besar SKTM 2, Mohd Faizullah Buyong dan Yang Dipertua PIBG SKTM 2, Azmir Musyabri Abdul Mutallib.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin turut mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada SKTM 2 untuk menaik taraf dewan terbuka sekolah itu kepada dewan tertutup.

Sebelum ini, pentadbiran kerajaan Barisan Nasional mengamalkan dasar tidak membenarkan ahli politik masuk ke sekolah, namun penguat kuasaannya dilihat lebih terarah kepada ahli politik pembangkang.

 


Pengarang :