SELANGOR

Baik pulih jalan berlubang demi keselamatan penduduk

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU LANGAT, 5 NOV: MMC Pembetungan Langat Sdn Bhd mengambil inisiatif membaik pulih jalan berlubang berhadapan Sunway Cheras, Batu 9, di sini, susulan insiden sebuah kereta terbolos ke dalam lubang, semalam.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada mendapan di atas jalan raya berkenaan ekoran kerja pengorekan lubang bawah tanah menyebabkan paip air pecah.

“Saya meminta MMC untuk meletakkan pasukan keselamatan sepanjang masa di kawasan ini walaupun selesai baik pulih bagi memastikan tiada kerosakan berulang dan membahayakan pengguna jalan raya.

“Pada masa sama, Majlis Perbandaran Kajang juga membantu membuat pemantauan bagi memastikan kerja penambahbaikan dijalankan dengan pantas,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, mangsa dilaporkan selamat dan pihak MMC akan membayar ganti rugi berhubung insiden terbabit.

Mengulas lanjut, katanya, MMC diarah bekerjasama dengan syarikat Air Selangor supaya kejadian paip pecah yang membawa kepada kerosakan jalan semasa kerja pengorekan tidak berulang.

“Buat masa ini, penduduk boleh menggunakan jalan alternatif melalui Taman Orkid,” katanya.


Pengarang :