SELANGOR

Baik pulih jeti LKIM jana ekonomi nelayan

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 10 NOV: Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu membaik pulih jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Selangor, di sini bagi memacu ekonomi nelayan tempatan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, sehingga kini jeti itu hanya menjadi tukun dan diibaratkan seperti projek gajah putih.

“Jika jeti itu dibangunkan semula, ini membolehkan nelayan meletakkan hasil tangkapan mereka di situ, dan orang ramai boleh terus ke sana untuk mendapatkan ikan segar.

“Saya difahamkan hampir setiap minggu orang luar dari Kuala Selangor datang ke sini mencari ikan segar, jadi memang amat bertepatan jika jeti itu dibaik pulih supaya menjadi tarikan pelancong seterusnya memacu ekonomi nelayan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Taklimat Pembangunan Unit Perancang Ekonomi Negeri, di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, semalam.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Rozana berkata, beliau terharu apabila pembangunan di Kuala Selangor mendapat perhatian serius termasuk bekas Dato’ Menteri Besar.

“Melalui mesyuarat kali ini, saya berhasrat supaya Kerajaan Negeri dan Persekutuan membangunkan kawasan yang berpotensi, bukannya sedia ada.

“Saya turut berharap supaya ada ADN lain yang turut sama mengenal pasti lokasi sedemikian bagi membolehkan ekonomi kawasan sekitar menjadi lebih baik,” katanya.


Pengarang :