SELANGOR

Baiki capaian internet sebelum laksana e-voting

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 NOV: Capaian akses internet perlu diperbaiki dahulu jika Suruhanjaya Pilihan Raya mahu melaksanakan sistem e-voting, pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, kerajaan perlu memastikan capaian internet dapat diakses, pada tahap terbaik supaya tidak timbul masalah semasa hari pengundian.

“Pelaksanaan sistem e-voting amat baik, namun isu utamanya adalah capaian internet yang masih terlalu rendah di beberapa kawasan, di negara ini terutama luar bandar.

“Kita sedia maklum sistem e-voting tetap boleh dilaksana walaupun tidak mempunyai akses internet, namun apabila mahu mengakses data keanggotaan dan laporan pengundian, ia tetap memerlukan capaian internet,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau turut memuji KEADILAN yang melaksanakan sistem e-voting, pada pemilihan parti kali ini kerana ia antara mekanisme pengurusan elektronik terbaik selain menjimatkan masa.

“E-voting adalah satu sistem yang cukup baik kerana hasil ciptaannya mendepani masa, justeru saya cadangkan supaya ia diuruskan oleh golongan profesional,” katanya.


Pengarang :