SELANGOR

Banjir kilat di Sungai Kandis terkawal

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 NOV: Keadaan banjir kilat di kawasan Sungai Kandis masih lagi terkawal sepanjang fenomena air pasang besar kali ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengatasi masalah tersebut.

“Dalam tempoh beberapa hari ini ada berlakunya kes banjir kilat kerana sekarang sudahpun memasuki perubahan monsun dan hujan kerap berlaku, namun ia masih lagi terkawal.

“Saya juga berharap supaya orang ramai peka apabila hujan lebat berlaku, mereka juga boleh mendapatkan info terkini melalui Smart Selangor Command Centre (SSCC) bagi lokasi banjir kilat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Mohd Zawawi berkata, beliau turut mengadakan lawatan ke Jalan Langat bagi mengatasi masalah banjir kilat di situ.

“Hasil tinjauan saya mendapati parit dan longkang di situ dipenuhi dengan rumput dan juga kangkung.

“Saya sudah mengarahkan pihak bertanggungjawab menyelenggara longkang berkenaan bag memastikan sistem saliran air itu lebih baik,” katanya.

Sementara itu SSCC dalam kenyataan berkata, antara kawasan terjejas banjir kilat setakat ini adalah Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

Di Kuala Selangor kawasan terjejas membabitkan Kampung Sawah di Tanjong Karang, manakala di Klang membabitkan kawasan di Kampung Bukit Kuda.

Bagi Kuala Langat, dua kawasan terjejas antaranya Kampung Kebun Batu 9 dan juga Lorong Siantan Tambahan Kampung Sungai Buaya.


Pengarang :