NASIONAL

Bank Dunia: Malaysia perlukan penggunaan, pelaburan swasta sokong pertumbuhan

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Penekanan Belanjawan 2019 untuk menangani hutang dan liabiliti luar jangka kerajaan mungkin akan mengecilkan ruang fiskal dan mencegah pelaburan awam daripada memacu aktiviti ekonomi sebagaimana yang berlaku sebelum ini, kata Kumpulan Bank Dunia.

Dalam keadaan ini, ia berkata, Malaysia akan lebih banyak bergantung kepada penggunaan dan pelaburan swasta untuk membantu pertumbuhan ekonomi dalam beberapa tahun akan datang.

“Belanjawan tahun ini memerlukan imbangan yang baik antara mengekal pertumbuhan, keyakinan sektor swasta, mempromosi tanggungjawab fiskal, menguruskan kemapanan hutang dan melindungi golongan yang lemah,” kata Wakil Kumpulan Bank Dunia Ke Malaysia dan Pengurus Negara, Dr Firas Raad.

Beliau berkata, banyak petunjuk yang menggalakkan dalam belanjawan berkenaan.

Ini termasuk usaha untuk mengukuhkan tadbir urus, tanggungjawab fiskal dan ketelusan; sasaran pemindahan tunai yang lebih baik melalui program Bantuan Sara Hidup Rakyat dan subsidi bahan api; dan fokus untuk mempromosi pendidikan, kemahiran dan keusahawanan.

“Ini adalah keutamaan kritikal bagi Malaysia untuk bersaing dan memacu ekonomi digital baharu.

“Seperti ditunjukkan oleh Indeks Modal Insan global yang dilancarkan Bank Dunia baru-baru ini, hasil modal insan Malaysia adalah baik untuk cita-cita pembangunannya, khususnya berkaitan kualiti pendidikan dalam matematik dan sains,” katanya dalam satu kenyataan yang bertajuk “Belanjawan 2019 – Satu Tindakan Pengimbangan untuk Kerajaan Baru”, semalam.

Mengenai percukaian, Firas berkata, tumpuan untuk memasukkan perkhidmatan import dalam skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), terutama yang berkaitan ekonomi digital, adalah inisiatif yang tepat pada masanya dan sejajar dengan amalan antarabangsa yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, katanya, lebih banyak lagi dapat dilakukan untuk mengembangkan skop SST.

Beliau menyifatkan langkah menjadikan sistem percukaian lebih progresif dengan memperluas liputan individu dan perniagaan yang membayar cukai pendapatan serta meningkatkan cukai keuntungan hartanah dan duti setem sebagai “langkah-langkah konstruktif”.

Bagaimanapun, mengenai kemampanan hutang, Firas berkata, Malaysia memerlukan pengurusan yang berhemat terhadap komitmen fiskal dalam jangka pendek hingga sederhana.

Tanggungjawab pengurusan fiskal, termasuk pembangunan mekanisme yang efektif untuk subsidi bahan api bersasar.

“Malaysia juga memerlukan usaha untuk mempelbagaikan pendapatan fiskal.

“Pengurangan ketara cukai berasaskan penggunaan pada 2018-2019 dan pergantungan yang lebih besar ke atas pendapatan minyak yang kurang stabil, boleh mengekang langkah pelarasan fiskal pada masa depan, terutama dengan penurunan harga minyak yang tidak dijangka. Ia juga boleh menggalakkan penggunaan dasar fiskal pro-kitaran,” kata Firas.

Sementara itu, dasar kerajaan ke arah “bukan tugas kerajaan untuk terlibat dalam perniagaan” akan meningkatkan keyakinan pelabur dan reformasi ekonomi yang pro-persaingan.

“Walaupun syarikat berkaitan kerajaan Malaysia menjadi bahagian penting dalam ekonomi, beberapa aktiviti mereka yang menguasai aktiviti ekonomi telah menjejaskan aktiviti ekonomi dan menghalang persaingan – dengan pengguna akhirnya menerima kesannya,” jelas beliau.

Firas berkata, sekiranya pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan dalam beberapa tahun akan datang ditanggung oleh sektor swasta, adalah penting untuk sektor awam tidak menjadi penghalangnya.

Menurutnya, peningkatan Malaysia dalam kedudukan ke-15 tahun ini daripada ke-24 dalam Menjalankan Perniagaan global, melambangkan cita-cita negara untuk membolehkan pembangunan yang diterajui swasta dan mendedahkan potensi ekonominya untuk menjadi harimau Asia.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :