NASIONAL

Bantu PKS sumbang 41% kepada KDNK menjelang 2020

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Belanjawan 2019 akan membantu negara melepasi sasaran untuk perusahaan kecil dan sederhana menyumbang 41 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2020.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof, berkata keyakinan itu berdasarkan inisiatif berkenaan selain peruntukan yang besar di dalam belanjawan.

“Belanjawan ini sangat menarik dan menunjukkan bahawa ekonomi negara ini dipacu oleh PKS,” katanya kepada Bernama selepas pembentangan Bajet 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen, di sini, semalam.

Mohd Redzuan berkata, inisiatif yang memberi fokus kepada pendigitalan dan halal juga akan membantu pembangunan PKS.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Kementerian berkenaan menyatakan kegembiraan terhadap cadangan insentif cukai oleh kerajaan bagi menggalakkan perniagaan mengguna pakai pendigitalan.

“Adalah diharapkan bahawa PKS, terutamanya dalam sektor pembuatan akan mendapat faedah daripada insentif ini,” kata kenyataan itu.

Berhubung inisiatif skim pembiayaan yang mana kerajaan memberi jaminan dan subsidi kadar faedah untuk PKS, kenyataan itu menyebut bahawa pinjaman dan jaminan akan mendorong pertumbuhan ekonomi PKS memandangkan perusahaan ini berkembang dan meningkatkan pelaburan terhadap perniagaan mereka.

Pekebun kecil getah dan kelapa sawit, yang mana kebanyakannya adalah perusahaan mikro, akan mendapat faedah daripada bantuan dan kesan limpahan positif,” kata kenyataan itu.

Dalam pembentangannya, Lim berkata, PKS yang berjumlah 98.5 peratus daripada jumlah perniagaan di negara ini, bagi memastikan daya saing mereka, kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif.

Ini termasuk mengurangkan kadar cukai korporat, peruntukan untuk industri halal serta membantu transisi 500 PKS.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :