NASIONAL

Bantu rakyat miliki rumah dengan lebih mudah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 NOV: Belanjawan 2019 menunjukkan usaha Kerajaan membantu rakyat di negara ini memiliki rumah dengan lebih mudah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, salah satunya ialah melalui penubuhan dana berjumlah RM1 bilion oleh Bank Negara khas buat golongan berpendapatan kurang RM2,300 sebulan untuk memiliki rumah buat kali pertama.

Katanya, melalui kadar pembiayaan terkurang serendah 3.5 peratus, ia sekali gus dapat mengurangkan jumlah bayaran ansuran bulanan pembiayaan oleh peminjam untuk memiliki rumah, dan seterusnya lebih mudah mendapat pembiayaan .

“Untuk pembeli rumah pertama bernilai sehingga RM500,000, Kerajaan akan memberi pengecualian duti setem sehingga RM300,000 yang pertama ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2020,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Belanjawan 2019 lagi, Zuraida berkata, Kerajaan turut memandang serius isu lambakan rumah tidak terjual.

Katanya, ia melalui cadangan pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik bagi pembelian rumah pertama, berharga antara RM300,001 sehingga RM1 juta berkuatkuasa bagi tempoh 6 bulan mulai 1 Januari 2019.

“Insentif bagi memperkemas Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dengan menghapuskan cukai untuk rumah bernilai di bawah RM200,000 dilihat dapat menstabilkan pasaran semasa dan ternyata belanjawan untuk 2019 memberi fokus kepada pemilikan rumah bagi golongan B40.

“Secara keseluruhan, Belanjawan 2019 adalah perangkaan bersifat merencana pembangunan secara holistik dan juga lebih bersasar bagi menangani permasalahan dihadapi Malaysia,” katanya.


Pengarang :