BERITA UTAMASELANGOR

Bantuan munasabah dan pinjaman Hijrah Selangor buat peniaga terjejas

OLEH AFIX REDZUAN

FOTO: REMY ARIFIN

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan Negeri sedia membantu kumpulan peniaga yang terjejas dalam kejadian kebakaran Uptown Seksyen 24 Shah Alam dengan membaiki semula lot perniagaan serta memberikan bantuan perniagaan Hijrah Selangor bagi membolehkan mereka berniaga semula.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau akan mendapatkan maklumat lengkap peniaga terlebih dahulu sebelum mengumumkan bantuan munasabah buat hampir 20 pemilik perniagaan.

“Insya-Allah kita akan menyalurkan bantuan membaiki semula lot-lot yang musnah. Kita sedang mengira (kos) dan saya akan mendapatkan maklumat daripada Tabung Pembangunan Usahawan di peringkat Kerajaan Negeri.

“Peniaga terkesan kita akan berikan bantuan HIJRAH Selangor untuk mereka memulakan semula perniagaan akibat kejadian ini dan ia satu jumlah yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat tapak kebakaran hari ini bersama EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Katanya, kawasan terbakar dan beberapa baris lot kedai berdekatan akan ditutup buat sementara waktu untuk siasatan forensik kebakaran Jabatan Bomba bagi mengenal pasti punca kebakaran dan setakat peringkat awal didapati tiada unsur-unsur khianat.

“Selepas insiden kebakaran kedua pada 2016, kita sudah naik taraf sistem pendawaian elektrik untuk kawasan ini. Setakat ini kita tidak boleh merumuskan sama ada punca kebakaran adalah dari litar pintas.

“Selepas siasatan dijalankan, PKNS akan membersihkan kawasan kebakaran dan menyediakan tapak ganti sementara untuk peniaga terkesan di kawasan sedia ada.

“Walaupun ada 35 lot terbakar tetapi kita mengenal pasti ada 20 peniaga sebab ada peniaga mempunyai lebih satu lot. Paling kurang seminggu atau mungkin lebih ia akan ditutup sehingga siasatan forensik kebakaran selesai,” katanya.

Bagaimanapun, Amirudin menjelaskan kawasan yang tidak terjejas boleh beroperasi dengan syarat mendapat pengesahan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku kerana terdapat sambungan elektik antara kedai dan blok bangunan.

 

 


Pengarang :