NASIONAL

Bantuan sara hidup bersasar & lebih baik diperkenal tahun depan

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kerajaan akan meneruskan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada rakyat golongan B40 dengan penambahbaikan terhadap pemberian bantuan secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah mulai Januari 2019.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini, berkata di bawah program itu, isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000 dan isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 akan menerima bantuan RM750.

BSH sebanyak RM500 juga akan diberikan kepada isi rumah berpendapatan dari RM3,001 hingga RM4,000, katanya.

Sebagai penambahbaikan, beliau berkata kerajaan juga akan memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada empat anak, kecuali anak kurang upaya yang tidak dihadkan umur mereka.

“Sebagai contoh, sekiranya isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah dan mempunyai empat anak, maka jumlah BSH yang akan diterimah sebanyak RM1,480. Ini lebih banyak daripada jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sedia ada sebanyak RM1,200,” katanya.

Beliau berkata melalui pemberian BSH itu dianggarkan 4.1 juta isi rumah akan terus menerima bantuan tersebut dengan peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM5 bilion.

Pemberian BSH merupakan salah satu daripada lapan langkah yang akan dilaksana kerajaan dalam usaha menjamin kebajikan dan kualiti hidup rakyat.

Di bawah Belanjawan 2019 yang bertemakan “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera”, Lim berkata RM45 juta juga akan diperuntukkan untuk program i-SURI, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP,) untuk golongan suri rumah.

Melalui skim tersebut, kerajaan akan menyediakan geran padanan RM40 setiap bulan sebagai insentif kepada suami yang mencarum dengan kadar minimum RM5 sebulan kepada simpanan persaraan isteri.

Beliau berkata kerajaan juga akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan perusahaan sosial dalam menyokong usaha mereka membantu komuniti kurang bernasib baik dan terpinggir.

“Contohnya seperti projek perolehan sampul surat kerajaan oleh Persatuan Pemulihan Orang Kurang Upaya. Untuk itu, kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta untuk inisiatif ini,” katanya.

Sebagai tambahan, potongan cukai pendapatan juga akan diberi ke atas sumbangan mana-mana pihak kepada suatu perusahaan sosial dengan had potongan sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat syarikat dan tujuh peratus daripada agregat individu yang memberikan sumbangan, katanya.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :