SELANGORSUKANKINI

‘Battle Futsal 4 Penjuru’ medan kukuh silaturahim

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 NOV: Menyedari sukan antara medium penting untuk memupuk hubungan akrab, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) mengambil inisiatif menganjurkan ‘Battle Futsal 4 Penjuru’, di Extreme Park Arena Seksyen 13, di sini, malam tadi.

Perlawanan persahabatan yang julung kali diadakan itu mendapat kerjasama hebat tiga anak syarikat MBI lain termasuk Media Selangor, Invest Selangor dan Tourism Selangor.

Wakil Penganjur, Mohd Zulkifli Ismail berkata, aktiviti sukan dan riadah sedemikian turut bertujuan mempromosi serta membudayakan gaya hidup sihat secara berterusan dalam kalangan peserta.

“Perlawanan malam ini bukan keputusan menjadi ukuran, sebaliknya semangat kerjasama itu yang lebih penting dan kesemua pemain nyata menampilkan permainan sihat serta bersungguh-sungguh.

“Kita berharap lebih banyak aktiviti seumpama ini dapat diteruskan, pada masa akan datang yang mungkin boleh dikembangkan untuk sukan lain membabitkan wanita,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, perlawanan yang berlangsung dalam suasana meriah dan ceria selama hampir tiga jam itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Eddie Khodzali.

Pada masa sama, Mohd Zulkifli optimis mengajak lebih ramai anak syarikat berkaitan lain menyertai program membabitkan kesukanan, selaras memupuk gaya hidup sihat dan cergas.

“Diharap perlawanan ini juga menjadi medan alternatif terbaik untuk mengumpul lebih ramai peserta daripada anak syarikat MBI, selain diyakini mampu memantapkan ukhwah bersama,” katanya.

‘Battle Futsal 4 Penjuru’ kali ini menyaksikan Invest Selangor unggul selaku juara apabila berjaya mengutip tujuh mata keseluruhan, sekali gus melayakkan mereka membawa pulang hadiah berupa hamper.

Sementara itu, Media Selangor muncul naib juara dengan memperoleh empat mata, manakala MBI dan Tourism Selangor berkongsi tiga mata sama untuk meraih tempat ketiga dan keempat.

 


Pengarang :