NASIONAL

Bayaran khas RM500 dibayar sebelum 25 Disember

PUTRAJAYA, 13 NOV: Bayaran khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah yang dicadangkan dalam Belanjawan 2019 akan dibayar sebelum 25 Dis ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

“Ini kali pertama kita bayar bonus pada tahun yang sama. Sebelum ini (bayaran khas) dibayar pada tahun berikutnya.

“Belanjawan 2018 memang tiada. Maka, kita akan mencari sumber.

“Kita berharap menerusi pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan menambah sedikit (pendapatan) untuk menampung bonus pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum itu, Lim menghadiri Majlis Mesra Warga Kastam Bersama Menteri Kewangan bersempena Sambutan Deepavali 2018 di Kompleks Kementerian Kewangan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019 pada 2 Nov lalu, Lim berkata kerajaan mencadangkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan dedikasi penjawat awam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Selain itu, kerajaan juga mengumumkan bayaran khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.

Bayaran khas itu melibatkan peruntukan berjumlah RM1 bilion.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :