SUKANKINI

Beberapa jalan sekitar Stadium Bukit Jalil ditutup sempena Piala AFF Suzuki

KUALA LUMPUR 30 NOV: Beberapa jalan di sekitar Stadium Bukit Jalil akan ditutup dan dilencongkan susulan perlawanan peringkat separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya dalam satu kenyataan hari ini berkata jalan-jalan yang terlibat adalah Lebuhraya KESAS susur ke Jalan Merah Caga bagi kedua-dua arah, Jalan Barat ke Jalan Merah Caga, dan Puchong Link ke Jalan Barat dari kedua-dua arah.

Dalam pada itu, Zulkefly berkata dijangkakan seramai 80,000 peminat bola sepak akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan itu.

“Memandangkan jumlah parkir yang terhad di sekitar Bukit Jalil, pengguna dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam untuk ke stadium berkenaan atau berkongsi kenderaan.

Pengguna juga dinasihatkan untuk tidak meletakkan kenderaan sesuka hati bagi mengelakkan berlaku halangan dan menyebabkan kesesakan lalu lintas. Tindakan saman termasuk menunda kenderaan akan diambil kepada pengguna yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas,” katanya.

Zulkefly juga meminta orang ramai mematuhi arahan anggota polis yang bertugas.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :