SEBUAH kereta terperangkap di Terowong Jalan Tun Razak. – Foto Ihsan DBKL
NASIONAL

Beberapa kawasan di ibu negara terjejas banjir kilat

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Hujan lebat lebih dua jam yang melanda ibu negara semalam menyebabkan beberapa kawasan dan laluan terjejas akibat banjir kilat.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Azman Mahmood berkata hujan lebat bermula kira-kira 4 petang itu mengakibatkan air bertakung di terowong Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd (SMART) di Jalan Tun Razak menghala ke KLCC dan Jalan Loke Yew.

Katanya Jalan Wirawati, Jalan Pudu Ulu, Jalan Pudu Perdana, Jalan Cheras dan Jalan Kepong turut terjejas akibat banjir kilat.

Beliau berkata anggota DBKL berada di lokasi kejadian untuk melancarkan aliran trafik dan melencongkan kenderaan daripada menggunakan laluan berkenaan.

“Kami turut menerima laporan air bertakung dalam surau Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang selain pokok tumbang di Jalan Ampang, dan kerja-kerja pemotongan sedang dilakukan Skuad Penyelamat DBKL dan bomba,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementera itu, seorang lelaki nekad keluar daripada keretanya melalui tingkap dan memanjat ke atas bumbung selepas kenderaannya tenggelam ketika melalui terowong di Jalan Tun Razak susulan air bertakung di kawasan itu.

Pemuda yang ingin dikenali sebagai Teh, 26, berkata dia yang cemas dengan situasi berkenaan, memanjat ke atas bumbung kereta jenis Honda Civic berwarna putih miliknya sebelum pasukan menyelamat tiba di lokasi kejadian.

“Saya tidak perasan ada takungan air kerana ketika itu ada lori di depan… tiba-tiba air memasuki kereta, saya terus keluar melalui tingkap dan duduk di atas bumbung kereta untuk selamatkan diri. Saya kemudiannya diselamatkan oleh anggota penyelamat yang tiba dilokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kejadian itu mengakibatkan kenderaan yang hampir setahun dimiliki Teh rosak ditenggalami air.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata tujuh anggota bersama sebuah jentera daripada balai bomba Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.56 petang.

“Sejurus tiba dilokasi kejadian, kita dapati lima kenderaan teperangkap di dalam terowong berkenaan dan tindakan pasukan bomba ialah menyelamatkan kesemua mangsa ke lokasi selamat,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi menyelamatkan mangsa mengambil masa kira-kira 10 minit dan kelima–lima mangsa lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan.

SUMBER: BERNAMA

FOTO SUMBER: NSTP


Pengarang :