SELANGOR

Belanjawan ’19: RM10 juta untuk program sukarelawan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan RM10 juta bagi program kesukarelawanan yang akan dilaksanakan melalui pelbagai ‘stakeholders’ di peringkat kampung, Pihak Berkuasa Tempatan dan badan bukan kerajaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, cadangan itu selaras hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai Negeri Penyayang atau ‘Compassionate State’ dengan membina masyarakat yang peduli kepada komuniti.

“Selangor berazam untuk menjadi ‘a volunteerism state’, justeru peruntukan RM10 juta akan diberi bagi program kesukarelawanan yang akan dilaksanakan melalui pelbagai ‘stakeholders’ di peringkat kampung, PBT dan NGO,” katanya.

Belanjawan bertema ‘Merancakkan Ekonomi, Memberdayakan Rakyat dan Mensejahterakan Negeri’ itu turut memperuntukan RM1 juta untuk mengawal dan mencegah haiwan seperti anjing liar dan kucing terbiar yang mengganggu kesejahteraan penduduk setempat.

Selain itu, PBT berstatus bandar raya akan memperuntukan RM3 juta, manakala PBT berstatus majlis perbandaran pula RM1 juta kepada jawatankuasa penduduk bagi meningkatkan pembabitan komuniti menyumbang idea pembangunan kawasan setempat.

“Langkah itu mampu merapatkan hubungan dua hala antara penduduk dan PBT,” katanya.


Pengarang :