NASIONAL

Belanjawan 2019 peduli dan bela kebajikan rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

SEMENYIH, 4 NOV: Belanjawan 2019 disifatkan sebagai berimbang dan bertanggungjawab terhadap semua rakyat Malaysia tanpa meminggirkan kumpulan masyarakat.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus berkata belanjawan kali ini mengambil kira perihal masalah rakyat walaupun negara berdepan krisis hutang yang perlu diselesaikan secara berperingkat.

“Walaupun negara menghadapi bebanan hutang, belanjawan kali ini memikirkan maslahat rakyat dan orang ramai.

“Ia mengambil kira orang Islam pada masa sama kita membela masyarakat lain dengan mengambil kira kedudukan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pencegahan Denggi UKM-BASF dan MPKj Bersama JMB/KRT Fasa 6 yang disertai hampir 400 penduduk di Dewan Blok N, Pangsapuri Baiduri Bandar Tasik Kesuma, Semenyih.

Menyentuh soal Subsidi Minyak Bersasar seperti diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019, Jumaat lalu beliau percaya Kerajaan sudah memikirkan langkah terbaik untuk memastikan ia sampai kepada rakyat khususnya pengguna kenderaan berkapasiti enjin 1.5L bagi kereta dan 125cc bagi motosikal yang berpendapatan rendah.

Menerusi inisiatif ini, Kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal.

Mekanisme baharu berkenaan dijangka bermula pada suku kedua 2019 dan untuk tujuan itu, RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka dapat memanfaatkan seramai 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.

 


Pengarang :