BERITA UTAMASELANGOR

Belanjawan Selangor 2019: Lagi inisiatif baharu bakal diumum

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 5 NOV: Tradisi memperkasakan rakyat diteruskan lagi menerusi pengumuman beberapa inisiatif baharu dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2019, pada 23 November ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah itu selaras hasrat Kerajaan Negeri yang sentiasa menghargai rakyat.

“Pada 23 November ini, giliran Kerajaan Negeri membentangkan belanjawan negeri dan kita akan kemukakan beberapa inisiatif baharu yang bukan hanya ingin memberi penghargaan tetapi memperkasakan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembah ucapan di hadapan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri, di Jalan Tengku Kelana, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, beliau sekali lagi menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa memastikan tiada golongan atau mana-mana kaum dipinggirkan dalam pembangunan dan kemajuan negeri.

Belanjawan Selangor sentiasa mencuri tumpuan masyarakat seluruh negara ekoran kemampuan Kerajaan Negeri menampilkan pelbagai inisiatif baharu untuk rakyat.

Selain pengumuman bonus, antara yang paling mencuri tumpuan adalah Inisiatif Peduli Rakyat.


Pengarang :