SELANGOR

Belanjawan Selangor 2019 perlu cakna nasib pekebun dan peladang

OLEH AFIX REDZUAN

SABAK BERNAM, 9 NOV: Belanjawan Selangor 2019 diharapkan dapat memberikan tumpuan kepada nasib pekebun dan peladang yang kian terhimpit ekoran penurunan harga sawit mutakhir ini.

Peladang, Yazid Sagiran, 48, berkata jika selama ini Kerajaan memberikan tumpuan kepada pesawah terjejas akibat kegagalan hasil tuaian, bantuan dan insentif sama juga perlu diberikan kepada kumpulan pekebun serta peladang.

“Kita harap nasib pekebun dan peladang diberikan perhatian. Jika selama ini petani dan nelayan diberikan bantuan jika menghadapi bencana, peladang juga sepatutnya diberikan bantuan sama.

“Penurunan harga pasaran sawit menjunam kepada RM300 satu tan sebenarnya memeritkan pengusaha dan diharapkan ia diberikan perhatian sewajarnya.

“Kita juga perlu sedar bahawa pekebun dan peladang juga antara penyumbang kepada ekonomi negara,” katanya kepada SelangorKini.

Pandangan sama turut dikemukakan Jaafar Mohmin, 50, yang sudah 10 tahun melalui pengalaman sebagai peladang.

Katanya, dengan kedudukan harga pasaran kini ia akan menyukarkan pengusaha untuk membeli keperluan seperti baja dan racun.

“Dahulunya harga satu tan sawit boleh mencecah RM500 tapi sekarang berbeza sekitar RM300 untuk kadar sama.

“Sebagai contoh, dua ekar tanah baru boleh kutip buah sawit satu tan. Paling maksima kutipan boleh dilakukan tiga kali dalam tempoh sebulan.

“Sebagai peladang, harga itu membebankan kami dan jika ia berlarutan ia boleh menjejaskan sumber pendapatan,” katanya.


Pengarang :