SELANGOR

Belanjawan’19: Bina Masjid Cina Muslim pertama di Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukan RM2.5 juta bagi membina Masjid Cina Muslim, di Bandar Baru Klang melalui Belanjawan Selangor 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, masjid bercirikan reka bentuk dan budaya komuniti Cina itu pertama dibina, di Selangor dan keempat di Malaysia selepas Kelantan, Ipoh dan Melaka.

“Kerajaan Negeri turut mengumumkan cadangan peruntukan RM500,000 bagi kerja reka bentuk dan kajian masjid baru, Masjid Al Amaniah di Gombak,” katanya.

Beliau berkata, belanjawan bertemakan ‘Merancakkan Ekonomi, Memberdayakan Rakyat dan Mensejahterakan Negeri’ itu turut mengambil kira kebajikan pengurusan masjid.

“Pentadbiran secara Jawatankuasa Pengurusan membolehkan masjid diselia dengan lebih baik kerana pegawainya digajikan sebagai penjawat awam.

“Pada 2019, Kerajaan Negeri berhasrat menambah pelantikan Pengurusan Masjid terdiri daripada seorang Pengurus gred 41, seorang Penolong Pengurus gred 29 dan dus Pembantu Pengurus gred 19 secara ‘contract of service’ untuk tambahan 10 masjid kariah terpilih dengan peruntukan RM1 juta,” katanya.

 


Pengarang :