SELANGOR

Belanjawan’19: Ekonomi Selangor kekal positif pada kadar 5.7%

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 23 NOV: Ekonomi Selangor dijangka kekal positif, pada kadar 5.7 peratus, pada 2018 dengan semua sektor mencatatkan peningkatan, menurut Malaysian Insititute of Economic Research(MIER).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kajian itu turut menyebut sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi Selangor.

Katanya, sepanjang hampir 10 tahun, Selangor terus kekal sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi 20 peratus.

“Ini membuktikan Kerajaan Negeri mempunyai keupayaan kewangan stabil melalui pengukuhan aspek tadbir urus yang menghasilkan perkhidmatan efisien dan polisi yang efektif.

“Peratus sumbangan KDNK Selangor kepada KDNK Malaysia, pada 2017 meningkat kepada 23% daripada 22.7%, pada tahun sebelumnya dan dijangka akan terus meningkat pada 2018, manakala kadar pertumbuhan KDNK Selangor, pada 2017 adalah 7.1% berbanding 4.8%, pada 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019 bertemakan ‘Merancakkan Ekonomi, Memberdayakan Rakyat dan Mensejahterakan Negeri’, di Dewan Annex, di sini.

Amirudin berkata, sektor perkhidmatan di Selangor merekodkan nilai ditambah berjumlah RM161.79 bilion, pada 2017 dengan sumbangan keseluruhan KDNK Selangor adalah 60%.

Katanya, sektor itu mencatatkan pertumbuhan 6.8%, pada 2017 berbanding 6.0%, pada tahun sebelumnya.

“Selangor adalah penyumbang utama kepada sektor pembuatan di Malaysia, iaitu 29.4% dengan nilai ditambah sektor ini, pada 2017 adalah RM79.2 bilion berbanding RM73.4 bilion, pada 2016.

“Peningkatan nilai sebanyak RM5.8 bilion ini merekodkan pertumbuhan 7.9% (2016: 4.3%) yang diterajui industri berorientasikan eksport dan domestik,” katanya.

Katanya, sub sektor produk elektrik, elektronik dan optikal mencatatkan pertumbuhan dua angka, iaitu 10.2% (2016: 7.4%) disokong pengeluaran tinggi bagi produk semikonduktor, litar elektronik bersepadu dan peralatan elektronik pengguna yang menerima permintaan global tinggi.

“Ini seiring dengan jumlah pelaburan diluluskan bagi industri elektrik dan elektronik yang meningkat kepada RM479.7 juta berbanding RM188.2 juta, pada tahun sebelumnya,” katanya.

 


Pengarang :