SELANGOR

Belanjawan’19: INPENS komited sedia akses buat TVET

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri terus komited dalam menyediakan akses bagi program Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, justeru, INPENS International College menawarkan program yang releven dan responsif dengan keperluan industri.

Katanya, matlamat utama yang ingin dicapai adalah melahirkan graduan yang holistik, berkualiti dan bersifat ‘industry ready’ selain terus melestari institusi TVET yang kondusif.

“INPENS melihat pendedahan industri hasil kolaborasi dengan pemain industri dari setiap bidang yang didorong oleh industri dapat memperkukuhkan lagi kematangan dan profesionalisme graduan dihasilkan.

“Jalinan industri bersama Perodua, Yamaha dan Daikin melibatkan bidang automotif, motosikal dan penyaman udara dilihat berpotensi besar sebagai pemangkin kebolehpasaran graduan,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan menaungi INPENS International College di bawah Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan IKTISASS bagi merancakkan lagi industri 4.0.

“Ini dilihat sebagai usaha untuk menjadikan negeri Selangor sebagai hab TVET berkemahiran tinggi secara holistik.

“Dengan usaha ini diyakini pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, berproduktiviti dan berkualiti dalam semua sektor dapat diutamakan sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam menjadikan Selangor sebagai hab kemahiran tinggi utama negara,” katanya.


Pengarang :